Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRU15: Anwar tuduh tentera dibayar RM300, bukti PH kian terdesak – Peja

PRU15: Anwar tuduh tentera dibayar RM300, bukti PH kian terdesak – Peja

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak membuat permohonan maaf kepada anggota tentera atas dakwaan mereka menerima RM300 untuk mengundi di Parlimen Bera semasa proses pengundian awal, baru-baru ini.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tindakan itu berniat jahat sekali gus telah menghina semua anggota tentera dan keluarga mereka.

“Ini adalah antara kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan berniat jahat yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Anwar tidak menunjukkan apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan jahat ini. Ia adalah tuduhan melulu, tanpa asas atau bukti,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Sebelum ini, Anwar yang juga calon PH di Parlimen Tambun mendakwa terdapat anggota tentera khususnya dalam Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) serta dibayar sebanyak RM300.

Presiden PKR itu dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti yang kukuh dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, Anwar telah menghina dan menggelarkan anggota tentera sebagai perasuah yang sepatutnya tidak berlaku kerana mereka menggadai nyawa melindungi negara.

“Menerima rasuah adalah suatu jenayah; adakah Anwar berpendapat bahawa anggota tentera kita adalah kesemuanya penjenayah?,

“Wira-wira ini sepatutnya dipuji, dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan,

“Adalah jelas bahawa Anwar semakin terdesak kerana PH kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen,” ujarnya.

Calon kerusi Parlimen Tambun itu turut mempersoalkan sama ada Presiden PKR itu bersedia untuk menarik balik dakwaan beliau atau tidak.

“Apakah cerita dongeng mengenai rasuah pilihan raya ini akan dijadikan alasan bagi menuduh bahawa pilihan raya tidak adil, jika PH kalah dengan besar pada 19 November?,

“Akhirnya, adakah Anwar bersedia menarik-balik penghinaan terhadap anggota tentera negara serta keluarga mereka dan meminta maaf secara terbuka?, soalnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerana menuduh mereka menerima wang.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh mengundi awal pada 15 November manakala hari pengundian pada 19 November.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply