Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Warga RAMD perlu mantapkan kesatuan, tingkat kesiagaan tempur pertahan kedaulatan negara – Sultan Kedah

Warga RAMD perlu mantapkan kesatuan, tingkat kesiagaan tempur pertahan kedaulatan negara – Sultan Kedah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah agar warga Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) terus memantapkan kesatuan, serta meningkatkan kesiagaan keupayaan tempur untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tercinta.

Baginda bertitah, usaha tersebut perlu diteruskan sejajar dengan perkembangan senario peperangan yang dinamik dalam pelbagai dimensi.

“Kotakanlah ikrar yang anda lafazkan pada hari ini, agar Malaysia tetap terpelihara dari sebarang ancaman petualang negara,

“Beta juga ingin menekankan bahawa, setiap lapisan warga pasukan perlu mempertahankan, asas profesionalisme ketenteraan melalui amalan nilai-nilai rejimental seperti yang dipamerkan pada hari ini,

“Teguhkanlah disiplin dan sentiasalah berusaha untuk meneruskan wadah perjuangan bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal mendatang,” titah Baginda ketika Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen Rejimen Batalion Ke-2, Batalion Ke-10, Batalion Ke-12 (Mekanize), dan Batalion Ke-14 (Mekanize) Askar Melayu Diraja (RAMD) di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.

Sultan Sallehuddin selaku Kolonel Yang Dipertua RAMD turut bertitah, penganugerahan Panji-Panji ini adalah sebagai pengurniaan tertinggi bagi menghargai perkhidmatan serta kesetiaan yang dimanifestasikan oleh anggota TDM kepada Raja dan negara.

Baginda Sultan Kedah turut bertitah menyeru agar semua warga pasukan sentiasa bersatu padu, mengambil langkah sederap, untuk menghormati kesucian Panji-Panji ini.

“Genggamlah dan kotakanlah kata-kata azimat ‘Biar Bertabur Peluru di Dada, Namun Undur Pantang Sekali’,

“Secara tradisi, Panji-Panji melambangkan ketangkasan, perpaduan dan daya penggerak di medan pertempuran,” titah baginda.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda telah disambut oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, perbarisan istiadat ini melibatkan seramai 28 pegawai dan 313 anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 2 RAMD, Leftenan Kolonel Mohd Suhadi Sapar; Pegawai Memerintah 10 RAMD, Leftenan Kolonel Muhammad Ikhwan Hussin; Pegawai Memerintah 12 RAMD (Mek), Leftenan Kolonel Mohd Azamri Abdullah dan Pegawai Memerintah 14 RAMD (Mek), Leftenan Kolonel Mohd Merican Yunus serta diiringi oleh Pancaragam Pusat RAMD.

Sultan Kedah juga berkenan bercemar duli menyempurnakan upacara menepung tawar Panji-Panji sebagai simbolik pentauliahan Panji-Panji baharu diikuti penyematan selempang Panji-Panji kepada Pegawai Panji-Panji dan lafaz ikrar oleh Ketua Perbarisan serta dipersembahkan Watikah Ikrar kepada Kolonel Yang DiPertua RAMD.

Panji-Panji Rejimen yang baharu kemudiannya diarak serta turut diperkenalkan sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali Panji-Panji keagungan Rejimen.

Pertukaran Panji-Panji Rejimen ini dilakukan sekiranya berlaku kerosakan ataupun telah lusuh.

Turut hadir, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin serta pegawai-pegawai kanan TDM.-airtimes.my

Galeri gambar:

 

Related Articles

Leave a Reply