Home PolitikPAS /PPBM / LAIN Muhyiddin bertemu Abdul Hadi, dakwa banyak perkara dipersetujui secara bersama

Muhyiddin bertemu Abdul Hadi, dakwa banyak perkara dipersetujui secara bersama

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Sept – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang malam semalam.

Muhyiddin menerusi hantaran di media sosialnya berkata, banyak perbincangan yang telah dipersetujui bagi mengukuhkan Perikatan Nasional (PN) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Alhamdulillah. Perbincangan selama 2 jam malam tadi yang amat bermakna,

“Banyak perkara dipersetujui untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional dalam menghadapi PRU-15,” tulisnya.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini memaklumkan akan bertemu dengan Abdul Hadi bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan Ahli Parlimen Marang itu bertemu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘menghidupkan’ semula Muafakat Nasional (MN).

Beliau menjelaskan, ia susulan terdapat laporan akhbar yang mendakwa perbincangan untuk menghidupkan semula MN adalah bagi mengelakkan pertembungan 2 parti itu pada PRU-15.

Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Sabtu lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO 30 September ini.

Menurut catatan Muhyiddin di Facebook pagi tadi, pertemuan itu berlangsung di rumahnya malam tadi.

Tambahnya, selain mendapatkan penjelasan PAS, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply