Home PolitikBarisan Nasional Pembangkang takut kalah jika PRU15 diadakan ketika musim tengkujuh – Zahid Hamidi

Pembangkang takut kalah jika PRU15 diadakan ketika musim tengkujuh – Zahid Hamidi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa blok pembangkang membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada musim tengkujuh kerana takut menghadapi kekalahan.

Zahid Hamidi menerusi hantaran di media sosialnya berkata, disebabkan itu pembangkang menghasut rakyat akan terdedah kepada banjir sekiranya PRU15 diadakan tahun ini.

“Mereka lupa bekas PM terakhir mereka, Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999, tak pula jadi isu besar,

“Terbaharu, tahun lepas, PRN Sarawak diadakan pada 18 Dis 2021. Pembangkang pula tewas teruk,

“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap Pakatan Harapan (PH) hilang apabila Dr Mahathir Mohamad tak mahu serah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain manifesto mereka gagal dilaksanakan,” katanya.

Oleh itu, katanya, pembangkang memerlukan masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN, dengan jelajah PH masih ‘sekerat jalan’ dan dijangka berakhir Februari depan.

“BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh Barisan Nasional (BN) untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan,” tegasnya.

Pada Sabtu, ketika melancarkan jentera Pilihan Raya Pemuda BN, Zahid dilaporkan berkata, gabungan itu sanggup meredah banjir untuk berkempen, jika PRU15 diadakan pada musim tengkujuh. Kenyataan itu kemudian dikritik pemimpin PH.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengkritik tindakan Zahid atas kenyataannya untuk mengadakan PRU-15 pada musim tengkujuh dengan menegaskan Presiden UMNO itu tidak peka dengan masalah yang dihadapi rakyat.

Tegasnya, UMNO seolah-olah lupa kesengsaraan yang dialami rakyat sejak sedekad yang lalu akibat bencana banjir.

“2 kejadian banjir besar di Sri Muda (tahun 2021) dan Baling (tahun ini) tidak pun terkesan kepada pimpinan UMNO, apatah lagi untuk menginsafkan mereka bahawa kebajikan rakyat perlu diutamakan,” tegas Rafizi.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply