Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Pelancaran kapal sebelum siap sepenuhnya tradisi dan praktis biasa TLDM

Pelancaran kapal sebelum siap sepenuhnya tradisi dan praktis biasa TLDM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Pelancaran kapal dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sejak sekian lama.

Bekas Panglima Tentera Laut ke-16, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (Bersara) berkata demikian bagi mengulas mengenai visual pelancaran Kapal Tempur Persisir (LCS) di Lumut pada tahun 2017 menjadi perhatian semula sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, pelancaran kapal LCS di Lumut itu bukan pertama kali, malah ia juga amalan biasa di negara-negara lain.

“Maklum balas orang awam tentang di mana kapal, kenapa lancar kalau masih tidak siap? Ini saya boleh faham dan hormati,

“Cuma, apabila fitnah seperti ini diviralkan, saya terpanggil untuk membetulkan persepsi negatif bagi melindungi maruah dan nama baik TLDM yang saya sayangi,

“Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkara ini turut disebut oleh bekas Ketua Pengarah Pasukan Projek LCS, Kepten Ir Azhar Jumaat (Bersara) dalam sesi menghadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 11 Disember 2021 lalu.

“Daripada segi tradisi, we call launching dengan naming ini hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja, Yang Berhormat. Justeru, untuk aktiviti launching dan naming itu, daripada segi tradisi dan praktis itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga,

“Mengambil peluang aktiviti launching daripada segi kejuruteraan teknikal ini dan juga dilaksanakan secara bersama dipanggil upacara penamaan itu, Yang Berhormat. Ia adalah memang satu tradisi navy yang telah dilaksanakan sejak yang lepas-lepas,” kata Kepten Ir Azhar.

Kamarulzaman berkata, sebagai contoh praktis di negara lain adalah semasa pelancaran LCS yang dibina oleh Naval Group untuk kerajaan UAE di Perancis yang mana kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya.

“Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai adalah tidak benar,

“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk ‘mast’ yang dikhabarkan palsu,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, semua perkara ini telah dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini.

“Jadi janganlah ada pihak sengaja timbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup kelirukan orang ramai,” tegasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply