Home Semasa Indonesia tarik balik pembekuan pekerja asing mulai 1 Ogos ini

Indonesia tarik balik pembekuan pekerja asing mulai 1 Ogos ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Jul – Indonesia bersetuju untuk menarik kembali sekatan kemasukan pekerjanya ke Malaysia bermula 1 Ogos ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, persetujuan itu dibuat hasil Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam Memorandum Persefahaman (MOU) berhubung Perkhidmatan Domestik Indoneisa (PDI) yang bersidang semalam.

Jelasnya, mesyuarat ini telah membincangkan isu-isu berkaitan dengan dasar dan teknikal dalam melaksanakan MOU PDI yang telah ditandatangani pada 1 April lalu.

“Kedua-dua pihak Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk mengintegrasi sistem sedia ada antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) bagi pengambilan PDI,

“Bagi memastikan sistem tunggal ini beroperasi dengan lancar, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh 3 bulan sebaik integrasi sistem selesai,

“Oleh itu, pihak Indonesia bersetuju untuk menarik kembali sekatan kemasukan PDI dan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bermula 1 Ogos 2022,” katanya dalam kenyataan bersama Menteri Ketenagakerjaan Indonesia, Ida Fauziyah pada Khamis.

Saravanan menjelaskan, beliau bersama Ida Fauziyah turut berbincang mengenai isu oemerdagangan orang termasuk buruh paksa.

“Kami komited untuk meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dan memperkasakan hubungan dua hala antara Malaysia serta Indonesia bagai menangani isu inii,” tambahnya.

Dalam kenyataan yang sama, Saravanan mengingatkan majikan yang mempunyai kuota pekerja asing yang telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk segera membuat bayaran levi dengan JIM.

Manakala, bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia pula, mereka boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin minggu hadapan.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia, Hermono dilaporkan berkata, Jakarta melaksanakan pembekuan sementara ke atas semua pekerjanya memasuki Malaysia susulan pertikaian berhubung sistem yang digunakan untuk mengambil pembantu rumah dari negara itu.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply