Home Semasa Tak hormat saya tak apa, saya dah nak mati – Speaker Dewan Rakyat

Tak hormat saya tak apa, saya dah nak mati – Speaker Dewan Rakyat

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=Fmhf82hu0I0[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 19 Jul – “Tidak hormat saya tidak mengapa. Saya sudah dewasa dan semakin mendekati kematian. Namun mereka yang bekerja dengan kita sebagai Bentara, apa sahaja kuasa dia, dia berdiri di situ 40 minit, tetapi tidak dihormati,” tegas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan kekecohan pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 Dewan Rakyat sehingga menyebabkan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majlis, dikenakan penggantungan 2 hari, semalam.

Menurutnya, kekecohan yang berlaku semalam amat menyedihkan setelah melihat 2 Bentara terpaksa menunggu dan berdiri selama 40 minit disebabkan kejadian itu.

“Saya lihat Bentara 2 orang, muda mudi kita yang bekerja di Parlimen, berdiri di situ selama 40 minit, tidak dihormati langsung,

“Tidak hormat saya tidak mengapa, saya Speaker (Yang Dipertua), I can take it (saya boleh terimanya), itu hidup saya, tugas saya. Tetapi hormatlah muda-mudi kita yang bekerja sebagai Bentara, mereka bekerja sahaja. Berdiri di situ tanpa dihormati,” katanya.

Tegasnya, tidak salah untuk Ahli Parlimen menyuarakan pendapat di Dewan Rakyat, namun lunas dan adab perlu dijaga.

“Tidak hormati saya tidak mengapa. Saya sudah dewasa dan semakin mendekati kematian. Namun mereka yang bekerja dengan kita sebagai Bentara, apa sahaja kuasa dia, dia berdiri di situ 40 minit, tidak diendahkan,” tegasnya.

Azhar melahirkan kesedihan itu di Dewan Rakyat, hari ini, ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, sama ada penggantungan 2 hari yang dikenakan kepada Isnaraissah masih berkuat kuasa atau sebaliknya.

Tambahnya, penggantungan 2 hari itu tidak boleh ditarik balik kerana Isnaraissah tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, supaya Ahli Parlimen Kota Belud, duduk dan membiarkan prosiding diteruskan dengan lancar.

“Saya tiada semasa kejadian, tetapi saya melihat melalui monitor. Sefaham saya, Timbalan Yang Dipertua mengatakan bahawa beliau bersetuju untuk menarik balik jika Kota Belud duduk dan membiarkan prosiding diteruskan. Tetapi, syarat itu tidak dipenuhi, jadi tidak ditarik balik,” katanya.

Berdasarkan Erskine May (Peraturan Mesyuarat), katanya sebarang perintah Yang Dipertua mengenai Peraturan 18 2 tidak boleh dibahaskan, selain Ahli Parlimen lain tidak dibenarkan untuk campur tangan.

“Tidak percaya? Saya boleh fotostat bagi sekarang juga. Tetapi, pihak pembangkang dan pihak kerajaan juga selalu menyuarakan Erskine May. Mengapa kita tidak ikut apabila saya menyatakan Erskine May begitu?

“Jadi, janganlah kita ikut apabila Erskine May menyokong kita sahaja. Apabila saya buat ruling (keputusan), kita ikutlah ruling itu,” tegasnya.

Menurut Azhar, jika Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat menolak sesuatu usul, mereka mempunyai alternatif lain dengan mengikut prosedur tertentu untuk memfailkan usul berkenaan disemak semula.

Semalam, Ahli Parlimen Kota Belud diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung 2 hari berikutan tindakannya mempersoal usul yang ditolak berhubung tuntutan Sulu.

Arahan itu dikeluarkan Mohd Rashid selepas menggantikan Azhar yang mempengerusikan majlis ketika itu. -airitmes.my

 

Related Articles

Leave a Reply