Home Pertahanan dan Keselamatan 2 tekong, 25 PATI Myanmar dicekup di Bukit Kayu Hitam

2 tekong, 25 PATI Myanmar dicekup di Bukit Kayu Hitam

by Nurulhuda

KUBANG PASU, 19 Jul – Tindakan 2 tekong darat menyeludup masuk 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dengan menaiki 2 buah kenderaan gagal, apabila ditahan oleh pihak polis di Simpang Tiga Kampung Lubuk Sengkuang, Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Polis (SUPT) Rodzi Abu Hassan berkata, kesemua mereka ditahan selepas anggota polis mengesan 2 kenderaan jenis Nissan Urvan dan Proton Saga dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan tugas Opserasi Benteng COVID-19 lebih kurang jam 5.50 pagi dan 6.58 pagi.

Menurutnya, anggota polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam kemudian menahan kedua-dua kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan mendapati kesemua 27 individu dalam kenderaan terdiri daripada 2 lelaki disyaki sebagai tekong, 18 lelaki dan 7 perempuan merupakan warganegara Myanmar berusia antara 19 tahun hingga 43 tahun,

“Kedua-dua tekong itu warganegara Myanmar berumur 35 tahun dan 43 tahun dengan seorang daripada mereka memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Rodzi menjelaskan, kesemua suspek dipercayai masuk ke Malaysia dari Danok Thailand melalui pagar sempadan Pos 1 dan Pos 2 kawalan tentera di laluan paip gas sebuah syarikat minyak dan gas, Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Sehubungan itu, Rodzi menjelaskan, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tahanan reman dan siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply