KYIV, 11 Jun – Pihak perisikan Ukraine mengeluarkan amaran bahawa Kyiv berhadapan dengan risiko kekalahan dalam peperangan dengan Rusia.
Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Tentera Ukraine, Vadym Skibitsky menyatakan peperangan dengan Rusia merupakan perang artileri.
“Sekarang ia adalah perang artileri. Barisan hadapan yang sedia ada akan menentukan masa depan Ukraine dan kita mengalami kekalahan dari sudut artileri,” katanya dalam satu wawancara khas dengan media Britain.
Menurut beliau, pasukan tentera negara Timur Eropah itu bergantung sepenuhnya dengan peralatan ketenteraan yang diberikan oleh Barat.
“Ukraine hanya mempunyai 10 peratus peralatan artileri jika dibandingkan dengan Rusia. Mereka mempunyai 10 ke 15 unit artileri kepada 1 unit yang dimiliki oleh Ukraine,” katanya.
Menurut Vadym, Ukraine menggunakan sebanyak 5,000 ke 6,000 peluru artileri dalam masa sehari.
“Pada ketika ini, bekalan peluru semakin berkurangan dan kini kami menggunakan peluru meriam 155mm NATO,” jelasnya.
Selain itu, beliau menggesa negara Barat untuk membekalkan sistem roket artileri bagi membolehkan Ukraine untuk menggempur kedudukan Rusia dari jarak yang lebih jauh.
Terdahulu, penasihat Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovych menegaskan negaranya amat memerlukan sekurang-kuangnya 60 unit artileri roket bagi mengekang kemaraan Rusia.
Sementara itu, Vadym menyatakan peluang Ukraine untukmerampas kembali Zaporizhzhia dan Kherson adalah tipis kerana Rusia telah membentuk tiga lapisan garisan pertahanan.
“Adalah sukar untuk mendapatkan semula wilayah tersebut dan itulah sebabnya mengapa kami memerlukan senjata,
“Sekiranya Rusia berjaya menawan Donbas, mereka akan melancarkan operasi untuk menawan Odesa, Zaporizhzhia dan Dnipro,” katanya. – airtimes.my