Home Semasa RUU Anti Lompat Parti: Tidak perlu mesyuarat khas Parlimen – PM

RUU Anti Lompat Parti: Tidak perlu mesyuarat khas Parlimen – PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan, RUU itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.

Beliau berkata, Perdana Menteri membuat keputusan itu berdasarkan pertimbangan terhadap beberapa faktor ketika sesi perbincangan bersama, antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan mesyuarat berkenaan.

“Sebagai contoh terdapat 2 Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ke luar negara pada awal bulan Julai sehingga pertengahan Julai 2020 iaitu Jawatankuasa Pilihan has Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan,” katanya dalam kenyaatan hari ini.

“Penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara), dijangka boleh digunakan untuk perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat,

“Secara keseluruhan, jumlah kos perlu ditanggung kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600, tidak termasuk kos operasi, jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan Peraturan Mesyuarat 11(3), Perdana Menteri boleh memanggil mesyuarat Dewan Rakyat dengan notis 14 hari. Jika notis dikeluarkan hari ini, Dewan Rakyat boleh bersidang pada 24 Jun.

Dalam kenyataan itu, Wan Junaidi menjelaskan, keputusan itu juga dibuat memandangkan ramai Ahli Parlimen berada di luar negara hingga pertengahan Julai depan bagi mengikuti program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana ia membabitkan lain-lain pihak berkepentingan.

Sebagai contoh, jelasnya, 2 Jawatankuasa Pilihan Khas akan ke luar negara pada awal bulan depan, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan.

Justeru, RUU terbabit akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-14 mulai 18 Julai depan sebagaimana termaktub dalam takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan serta pewartaannya.

“Pembentangan RUU itu mengikut takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang akan datang ini, akan memberi masa mencukupi untuk ia diteliti oleh Ahli Parlimen sebelum dibahaskan.

“Perkara ini tidak dapat dilaksanakan jika Mesyuarat Khas diadakan. Jika Mesyuarat Khas diadakan, ia hanya dapat diadakan pada pertengahan bulan depan memandangkan ketiadaan ramai Ahli Parlimen sebelum pertengahan Julai,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk mengesahkan penyata yang telah disediakan.

“Penyata ini akan dibentangkan ketika sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta cadangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti,” katanya.

Semalam, Wan Junaidi memaklumkan, Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mencadangkan supaya Perdana Menteri mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama bulan depan.

Mesyuarat khas itu antara lain bagi membentang RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No 3) 2022, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply