Home Semasa RUU Anti Lompat Parti dibentang minggu pertama Julai ini

RUU Anti Lompat Parti dibentang minggu pertama Julai ini

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Menimbang Rang Undang-Undang (RUU) mengenai larangan Ahli Parlimen menukar parti akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada minggu pertama bulan Julai 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan itu dicapai semalam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 bagi memaklumkan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa itu berkata, keputusan tersebut diputuskan secara sebulat suara yang meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri selaras Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Semua ahli mesyuarat bersetuju dan memuktamadkan draf RUU Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No. 3) 2022 boleh dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat,

“Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, 5 persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lalu, telah diulas dan dijawab Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam mesyuarat semalam.

Tambahnya, maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara itu akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

“Pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara,

“Mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas,” katanya.

Sebelum ini, Wan Junaidi komited dengan Jawatankuasa Pilihan Khas berhubung pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dapat menyediakan penyata mengandungi cadangan RUU itu.

Katanya, perkara itu dapat direalisasi kerana jawatankuasa itu dianggotai oleh pakar dan pengamal undang-undang yang berpengalaman bagi menggubal undang-undang berkenaan.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply