Home PolitikBarisan Nasional ‘Saya tak bangun, bukan tak sokong PRU diadakan segera’ – Annuar Musa

‘Saya tak bangun, bukan tak sokong PRU diadakan segera’ – Annuar Musa

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Saya setuju Pilihan Raya Umum (PRU) disegerakan sebaik saja Barisan Nasional (BN) benar-benar sudah siap siaga, tetapi saya tidak berdiri, jelas Tan Sri Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu mengakui tidak berdiri apabila diminta bangun oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai tanda memberi sokongan agar PRU diadakan dengan kadar disegerakan, semalam.

Annuar menjelaskan, walaupun beliau enggan mengikut kehendak Ahmad Zahid, namun tidak bermakna dirinya tidak bersetuju agar PRU diadakan secepat mungkin.

Tetapi, beliau berkata, hanya mahu PRU dibuat setelah BN benar-benar sudah bersedia menghadapi pilihan raya itu.

“Tadi (Rabu) pengerusi BN bertanya pada khalayak, bila mereka mahu PRU diadakan. Kemudian disuruh berdiri. Saya perhatikan ramai terpinga pinga, ramai juga yang spontan berdiri,

“Ada yang tunggu nak tengok kawan berdiri atau tidak. Ada yang berdiri tapi memberitahu pendirian berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu,

“Saya tidak bagun pun. Saya tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain berdiri atau kerana segan, tak tergamak, kerana disuruh berdiri dan sebagainya,” jelas Annuar dalam hantaran di media sosialnya malam tadi.

Semalam, ketika BN mengadakan konvensyen sempena sambutan ulang tahun BN gabungan itu, Ahmad Zahid meminta peserta supaya berdiri sebagai tanda sokongan untuk mendesak PRU diadakan segera.

Di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahmad Zahid bertanyakan siapa yang setuju supaya PRU diadakan segera tahun ini.

Gesaan Ahmad Zahid itu disambut sorakan para peserta konvensyen yang kemudian bangkit menyatakan sokongan mereka.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, beliau sememangnya setuju PRU disegerakan namun ia perlulah dibuat apabila BN benar-benar sudah siap siaga.

“Pengelaman saya telah banyak menyaksikan yang didakwa yakin menang, akhirnya kalah, yang dikata ‘ready’ sebenarnya belum ready,

“Ada juga yang kononnya ada dana, kehabisan dana selepas beberapa hari kempen bermula dan ada juga yang dikata ramai ‘putih’ akhirnya ‘hitam’,” tegas Annuar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, BN perlu berhati-hati agar tidak tersilap perhitungan serta analisis tidak boleh dibuat secara retorik dengan memetik fakta di tepi jalan.

Tambahnya, BN juga perlu berhati-hati apabila menyatakan sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya nanti.

“Dalam kata lain, bilakah tarikh nak diadakan PRU, perlu jadi rahsia dan ‘trump card’ para ‘general’,

“Merekalah yang harus bincang secara tertutup setelah menimbang semua sudut kesiapsiagaan parti,

“Saya berpegang pada prinsip. Tarikh pilihanraya adalah senjata parti yang sedang memerintah, iaitu BN. Ia perlu dibincang tertutup,

“Sementara itu kita perlu jujur. Kalau sudah ‘ready’ kata ready. Tapi kalau kerja pun belum buat, dana belum tersedia, data belum terurus, jentera belum terlatih, tapi kita mendakwa kita sudah ready, itu menolak ikhtiar namanya, “ tambahnya.

Dalam pada itu, Annuar menegaskan, beliau percaya dengan Perdana Menteri akan memberi semula mandat kepada rakyat pada pilihanraya akan datang.

“Saya percaya Perdana Menteri beri semula mandat kepada rakyat. Bukan dalam tergopoh-gapah, atau di saat suasana yang berterabur. Sebaliknya diketika rakyat bersedia dan yakin untuk memberi mandat semula kepada yang sedang berkuasa,

“Yang terbaik bagi kita adalah untuk segera berkerja, merapatkan saf, mengawal kubu kubu BN dan mengatur strategi menawan kawasan-kawasan lawan,” ujarnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply