Home Semasa COVID-19: Kerajaan tawar ujian RT-PCR percuma kepada jemaah haji

COVID-19: Kerajaan tawar ujian RT-PCR percuma kepada jemaah haji

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ujian pengesanan RT-PCR COVID-19 bagi jemaah haji di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dilaksanakan secara percuma.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi bakal jemaah haji yang memilih untuk menjalani ujian di fasiliti kesihatan swasta, kos ujian tersebut perlu ditanggung sendiri oleh jemaah haji mengikut caj yang dikenakan.

Jelasnya, keputusan pelaksanaan ujian PCR secara percuma itu dilaksanakan susulan kerajaan Arab Saudi menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit yang ketat susulan pandemik COVID-19.

“Bagi memastikan operasi haji dilaksanakan dengan selamat dan lancar, Arab Saudi telah menetapkan prosedur pencegahan dan pengawalan penyakit yang ketat susulan daripada pandemik COVID-19,

“Semua jemaah haji perlu disahkan negatif COVID-19 menerusi ujian pengesanan RT-PCR dalam tempoh 72 jam sebelum ketibaan di Tanah Suci seperti yang ditetapkan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada tahun ini, Arab Saudi yang telah memperuntukkan kuota haji sebanyak 14,306 orang jemaah haji dari Malaysia.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, jemaah haji boleh menghubungi Pejabat Kesihatan atau Pejabat Tabung Haji di daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perkara itu termasuklah senarai fasiliti kesihatan KKM yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan COVID-19 (RT-PCR).-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply