Home Semasa KKM tarik balik penjualan mentega kacang keluaran Amerika Syarikat di Malaysia

KKM tarik balik penjualan mentega kacang keluaran Amerika Syarikat di Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menyatakan penjualan produk mentega kacang jenama ‘JIF’ dari Amerika Syarikat dihentikan sementara waktu kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut melalui notifikasi yang dikeluarkan oleh International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN).

“Notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga (3) digit terakhir 425 ditarik balik kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella,

“ Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan bahawa produk tersebut telah diimport ke negara ini.

“Sehubungan itu, KKM telah meminta pihak syarikat yang mengimport menarik balik produk yang terlibat di pasaran.

Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki ke negara ini,” ujarnya.

Noor Hisham turut menyeru peniaga untuk menghentikan penjualan mentega kacang jenama Jif dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga (3) digit terakhir 425 dengan serta-merta.

“Para pengguna yang telah membeli produk dengan nombor batch yang terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut,” katanya.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply