Home Semasa Tanam pokok ganja keliling rumah, bekas diplomat dan anak ditahan

Tanam pokok ganja keliling rumah, bekas diplomat dan anak ditahan

by Nurulhuda

BENTONG, 24 Mei – Seorang bekas diplomat berstatus Datuk ditahan selepas disyaki memiliki dan menanam 102 pokok ganja di sekeliling rumahnya di Janda Baik, pada Sabtu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki berusia 78 tahun itu ditahan di rumahnya di Janda Baik, pada pukul 6.10 petang pada Sabtu lepas manakala anak lelakinya berusia 53 tahun ditahan di sebuah rumah di Shah Alam, Selangor pada 5.30 petang semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di kawasan premis tersebut, mendapati sebanyak 102 pokok disyaki ganja yang ditanam di tanah seluas kira-kira 0.8 hektar sejak 2015.

Ia sekali gus menjadikan rampasan pokok ganja terbesar negara kerana kebanyakan rampasan hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.

“Hasil pemeriksaan di kawasan belakang garaj rumah tersebut, pihak polis menjumpai 5 batas tanah yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja,

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menemui khemah berjaring di dalamnya terdapat lapan pokok yang ditanam di atas tanah disyaki pokok ganja menjadikan jumlah keseluruhan ditanam atas tanah sebanyak 68 pokok,

“Nilai rampasan 102 pokok ganja berkenaan adalah kira-kira RM61,200, dengan setiap pokok dianggar bernilai RM600,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, hari ini.

Menurut Ramli, pemeriksaan seterusnya yang dijalankan di sekitar kaki lima rumah tersebut menemui satu bekas plastik semaian berwarna hitam yang ditanam 12 batang pokok, satu bekas plastik ditanam 4 batang pokok dan satu bekas lagi ditanam 2 batang pokok disyaki ganja.

“Selain itu, terdapat tujuh beg plastik semaian berwarna hitam setiap satunya ditanam batang pokok disyaki pokok ganja,” katanya.

Tambahnya, pihak polis juga telah menjalankan pemeriksaan lanjut ke dalam rumah tersebut dan menjumpai satu ampaian besi berwarna putih/kelabu di atasnya terdapat tumbuhan kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 573 gram.

“Turut dijumpai, satu beg plastik kuning di dalamnya berisi lima bekas plastik berpenutup cerah yang mana setiap satunya berisi tumbuhan kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 185 gram,

“Satu lagi bekas plastik berpenutup merah di dalamnya berisi tumbuhan kering kehijauan disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 262 gram,” ujarnya.

Selain itu katanya, turut ditemui satu botol kaca warna gelap berpenutup hitam setiap satunya berisi cecair disyaki minyak ganja anggaran 60 mililiter (ML) dan satu botol kaca warna gelap tertera tulisan ‘Extra Virgin Oil’ berisi cecair disyaki minyak kelapa.

“Pihak polis juga menjumpai satu batang buluh yang telah diubah suai dipercayai digunakan bagi kegiatan penagihan dadah jenis ganja,” katanya.

Ramli berkata, hasil analisis rampasan dadah itu boleh dibekalkan kepada 1,020 penagih.

Tambahnya, pihak polis kini sedang mengenal pasti kepada siapa bahan terlarang itu diedarkan.

“Benih ini juga dipercayai daripada ganja yang dimampatkan sekitar tujuh tahun lalu di Kuala Lumpur,

“Hasil ujian saringan awal ke atas sampel air kencing suspek negatif dadah namun berdasarkan siasatan awal polis, suspek mendedahkan menggunakan cecair disyaki minyak ganja dengan mencampurkan beberapa titik ke dalam minumannya sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Ramli menjelaskan, suspek kini direman selama 7 hari bermula 21 Mei hingga Sabtu ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6B akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(1)(A) akta sama. Jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama dipenjara seumur hidup dan dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, hasil ujian saringan awal air kencing anak kepada suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Jelasnya, suspek mendedahkan terlibat dalam kegiatan penagihan dadah sejak 2013 dan telah menanam ganja sejak 2015. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply