Home Semasa Perlu rancangan rapi agar Bahasa Melayu kembali jadi ‘lingua franca’ – Perdana Menteri

Perlu rancangan rapi agar Bahasa Melayu kembali jadi ‘lingua franca’ – Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berharap skop kerjasama antara negara-negara ASEAN dapat dirancang dengan lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan ‘lingua franca’.

Beliau berkata, ia termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan Bahasa Melayu.

“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri dan diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN,

“Saya berharap skop kerjasama diperluas, termasuk penyelidikan, penerbitan dan pemupukan, dapat dirancang lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan lingua franca,” jelasnya menerusi hantaran di media sosial rasminya, hari ini.

Menurutnya, di peringkat ASEAN, penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).

“Malah, dengan wujudnya diaspora Malaysia di Sri Lanka, Surinam, Afrika Selatan, Madagaskar, Asia Barat, Eropah dan beberapa bahagian lain dunia, bahasa Melayu berpotensi besar diangkat sebagai salah satu bahasa dunia, seperti pada sekitar abad ke-15 hingga abad ke-19 dahulu,” ujarnya.

Justeru katanya, bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta (Dewan Bahasa dan Pustaka) DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

Ismail Sabri turut menegaskan, pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Sehubungan itu, Ismail Sabri turut menyeru seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.

“Perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan kerajaan, GLC dan swasta,

“Jadikanlah peribahasa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ sebagai pegangan kerana cara itu barulah Bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan di negara ini,” tambahnya.

Tambahnya, usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan, dan ia antara bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember tahun lepas, iaitu diplomasi kebudayaan.

Jelasnya, ketika sidang kemuncak khas Asean-Amerika Syarikat di Washington baru-baru ini beliau juga bercakap dalam bahasa kebangsaan termasuk pada sesi rundingan dua hala dengan negara lain pada sidang itu.

“Surat yang saya hantar kepada pemimpin-pemimpin dunia juga dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris,

“Saya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan Bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut,” tambahnya.

Pada Ahad, Perdana Menteri telah merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma DBP, Kuala Lumpur.

Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula semalam hingga 24 Mei ini adalah kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri dengan DBP serta Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Semoga Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu dapat dijadikan pentas memartabatkan dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu yang menjadi kebanggaan dan identiti kepada Keluarga Malaysia,

“Tahniah kepada rakan-rakan dari lebih 20 negara yang sudi memberi buah fikiran mereka dalam simposium ini,” jelasnya. -airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply