Home Pertahanan dan Keselamatan TLDM hantar KD LEKIR sertai latihan perang maritim terbesar di Hawaii

TLDM hantar KD LEKIR sertai latihan perang maritim terbesar di Hawaii

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menghantar Kapal Diraja (KD) LEKIR bagi menyertai eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) di Hawaii, Amerika Syarikat (AS) pada bulan depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin berkata, eksesais RIMPAC itu akan diadakan bermula pada 29 Jun hingga 4 Ogos 2022.

“Eksesais ini merupakan eksesais maritim terbesar anjuran Tentera Laut AS,

“KD Lekir akan mula belayar dari tambatan Pangkalan TLDM Lumut pada 30 Mei 2022,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Hishammuddin, sepanjang tahun ini sahaja, TLDM telah melaksanakan serta menyertai pelbagai eksesais Bilateral dan Multilateral khususnya di perairan Laut China Selatan serta perairan Selat Melaka.

Antara eksesais Bilateral dan Multilateral yang telah dilaksanakan dan disertai oleh TLDM setakat Januari hingga Mei tahun ini ialah Passage Exercise (PASSEX) bersama Tentera Laut Jerman di perairan Selat Melaka; PASSEX bersama Tentera Laut Perancis di perairan Laut China Selatan dan PASSEX bersama Tentera Laut Diraja Australia di perairan Laut China Selatan.

Selain itu, TLDM turut terlibat didalam eksesais Cobra Gold 22 bersama Australia, China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Pattaya, Thailand; Milan 22 bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Visakhapatnam, India serta Bersama SHIELD bersama Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom di HQIADS, Pangkalan Udara Butterworth dan Laut China Selatan.

Beliau berkata, penglibatan TLDM dalam eksesais-eksesais ini telah mencapai sasaran objektif yang ditetapkan terutama dalam membina kesefahaman dan meningkatkan keupayaan pengoperasian bersama dengan angkatan laut negara-negara luar.

“Eksesais secara bersama ini juga merupakan salah satu langkah tindakan show of force atau memperagakan aset pertahanan maritim secara berterusan,

“Ia sekaligus akan dapat mengekalkan imej dan penghormatan TLDM di pentas antarabangsa. Ia juga dapat meningkatkan keyakinan komuniti maritim terhadap kemampuan dan komitmen TLDM,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, TLDM bakal melaksanakan dan menyertai pelbagai lagi eksesais sehingga hujung tahun ini yang melibatkan lebih banyak negara termasuk AS.

“Eksesais yang bakal disertai TLDM adalah KAKADU 22 bersama Australia, New Zealand, Singapura dan United Kingdom di Perairan Darwin, Australia; SEACAT 22 bersama AS dan negara ASEAN di Perairan Selat Melaka dan Changi Naval Base, Singapura,

“Ia juga akan melibatkan latihan MNE KOMODO 22 bersama Indonesia di Pelabuhan Tanjung Priok, dan Pulau Belitung serta SUMAN PROTECTOR 22 bersama Singapura di HQ TRADOC Singapura,” katanya lagi. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply