PORT DICKSON, 21 Mei – Seramai 2,497 perajurit muda berjaya menamatkan Kursus Asas Latihan Tentera Darat pada acara Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Tentera Darat Lelaki Siri 194/21 dan Wanita Siri 47/21 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.
Majlis perbarisan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Zamrose dalam ucapannya berkata, kejayaan tidak diperolehi tanpa pengorbanan keringat, kekuatan rohani serta spiritual diri yang teguh.
“Kejayaan terhasil daripada kegigihan usaha serta kesabaran yang tinggi yang ditunjukkan oleh saudara dan saudari sepanjang latihan,” katanya.
Beliau turut berpesan kepada semua Perajurit Muda agar nilai-nilai murni yang dipupuk dan disuburkan sepanjang latihan ini akan terus dipraktikkan sewaktu melaksanakan tugas serta tanggungjawab di pasukan nanti.
Mengulas lanjut, beliau turut menitik beratkan aspek disiplin dan profesionalisme kepada semua Perajurit Muda.
“Saudara dan saudari adalah generasi yang hidup dalam alaf yang sangat mencabar,
“Kemajuan teknologi serta perubahan sosio budaya yang begitu pesat dan penuh godaan boleh menjuruskan saudara serta saudari ke arah yang salah,
“Saya menasihatkan saudara dan saudari untuk sentiasa mengamalkan nilai kerohanian serta adab budaya yang mulia agar ianya menjadi pendinding daripada terlibat aktiviti yang boleh mencemarkan nama baik diri dan organisasi,” ujarnya.
Jelasnya, Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan sekali-kali berkompromi dengan salah laku yang dilakukan oleh warganya.
“Tindakan yang sekeras-kerasnya akan diambil terhadap mereka yang mencemarkan nama baik TDM,” katanya lagi.
Perajurit Muda ini telah menjalani latihan mulai 26 November 21 hingga 21 Mei 22 di PUSASDA.
Seramai 2,497 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan pada kali ini yang terdiri daripada 2,234 orang Perajurit Muda Lelaki dan 263 orang Perajurit Muda Wanita.
“Objektif pelaksanaan latihan ini bertujuan untuk melatih dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan asas ketenteraan serta kemahiran sebagai seorang anggota tentera sebelum diserapkan dalam pelbagai Kor dalam TDM,
“Latihan yang dilalui memberi penekanan kepada pembentukan keperibadian ketenteraan (profil), serta pembinaan kekuatan dan ketahanan fizikal serta mental, disamping mendedahkan Perajurit Muda dengan pengetahuan asas ketenteraan,” kata TDM.
Latihan ini dilaksanakan selama 6 bulan bagi melahirkan Perajurit Muda yang berkeyakinan diri, berketerampilan, berdisiplin serta kompeten untuk mencapai kualiti sumber manusia yang terbaik sesuai dengan kehendak Tentera Darat.
Pada siri kali ini, perbarisan tamat latihan menerima kehadiran pengunjung yang mana terdiri daripada waris keluarga dan jemputan luar.
Perbarisan tempur dan berjalan lalu dalam masa cepat ini melibatkan sebanyak 3 kontijen yang terdiri daripada 21 detasmen. Setiap detasmen dianggotai oleh seramai 105 orang perajurit muda.
Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik dirangkul anak kelahiran Segamat, Johor, Mohamad Nor Farhan Mahzal, manakala Perajurit Muda Wanita Terbaik disandang Nur Syafiqah Liyana Mohd Nor dari Terengganu.
Perajurit Muda Lelaki Ketenteraan Terbaik pula disandang anak kelahiran Ipoh, Perak iaitu Muhammad Aminur Rasyid Mat Radzi.
Turut dianugerahkan Perajurit Muda Lelaki Kawad Terbaik adalah Aiman Ruzzaini Romzi yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Manakala anugerah Perajurit Muda Lelaki dan Wanita Akademik Terbaik pula disandang oleh Nelson Jemis dari Ranau, Sabah dan Nur Farah Huda Azman berasal dari Ipoh, Perak.
Perajurit Muda Edison dari Keningau, Sabah dan Nur Nazwa Herman berasal dari Tawau, Sabah pula dianugerahkan Perajurit Muda Jasmani Terbaik.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman; Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Nazari Abd Hadi. – airtimes.my
Galeri gambar: