Home Semasa TMJ gesa SOP siasatan kes penderaan kanak-kanak di Johor dipertingkat

TMJ gesa SOP siasatan kes penderaan kanak-kanak di Johor dipertingkat

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 18 Mei – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar kerajaan negeri meningkatkan dan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) siasatan berhubung kes-kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di Johor.

Baginda bertitah, langkah itu perlu dilaksana melalui kerjasama pelbagai agensi kerajaan negeri terlibat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut baginda, garis panduan yang dikeluarkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) boleh diguna pakai.

“Pada hari ini, saya telah melawat Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam,

“Istana Johor dan kerajaan negeri akan memberi sumbangan untuk menambahbaik CIC ini, memperkasa kekuatan pasukan polis D11 dan untuk menyediakan sebuah CIC di Ibu Pejabat Polis Muar dan di Iskandar Puteri bagi melancarkan usaha PDRM menjalankan siasatan dan menyelesaikan kes-kes penderaan kanak-kanak di Johor,

“Saya juga ingin menggesa Kerajaan Negeri Johor untuk bekerjasama dengan PDRM, JKM dan dengan garis panduan daripada UNICEF untuk melaksanakan pelbagai usaha untuk menambahbaik SOP dan prosedur yang ada serta meningkatkan kesedaran awam,” titah baginda yang disiarkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi baginda pada Selasa.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan melawat Pusat Temuduga Kanak-kanak di IPK Johor, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail @ Md On.

Baginda turut menegaskan, apa jua bentuk penderaan terhadap kanak-kanak adalah sesuatu yang tidak boleh dianggap ringan.

“Menjadi tanggungjawab semua bangsa Johor untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di negeri ini,” titah baginda lagi.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply