Home Semasa Nahas 5 pelajar rentung: Polis tahan pemandu treler rempuh belakang kereta

Nahas 5 pelajar rentung: Polis tahan pemandu treler rempuh belakang kereta

by Nurulhuda

IPOH, 12 Mei – Polis telah menahan pemandu treler yang membawa muatan besi pagar bagi membantu siasatan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan 2 treler hingga menyebabkan 5 mangsa rentung di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, Kuala Kangsar tengah malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 28 tahun itu bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman ke atas lelaki itu akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini (Khamis) bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes ini,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dibawa lelaki itu tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian lalu merempuh belakang kereta jenis Honda City yang dinaiki 5 mangsa terbabit.

“Akibat kemalangan itu, kereta yang dipandu mangsa berusia 22 tahun terbakar sebelum merebak ke bahagian kepala treler muatan pagar besi,

“Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana tidak sempat menyelamatkan diri,” tambahnya.

Terdahulu, 5 penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas kemalangan dengan dua treler di KM245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply