Home Semasa Sudah tahu pesawat tidak cukup, kenapa masih jual tiket penerbangan – Ahli Parlimen DAP

Sudah tahu pesawat tidak cukup, kenapa masih jual tiket penerbangan – Ahli Parlimen DAP

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Tindakan syarikat penerbangan Air Asia yang kerap memberi alasan berhubung kelewatan berterusan serta penjadualan semula penerbangan domestik disifatkan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu tidak sepatutnya menjual tiket jika ia tidak dapat menyediakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan.

“Ini menyebabkan pelbagai kesulitan dan juga kerugian ekonomi kepada orang ramai. Khususnya pada musim perayaan, ini tidak boleh diterima, dan MAVCOM harus mempertanggungjawabkan mereka untuk melindungi hak pengguna,

“Walaupun keselamatan kapal terbang dan penumpang amat penting, syarikat sepatutnya menjangkakan ini,

“Sekiranya mereka boleh meramalkan masalahnya, kenapa menjual tiket-tiket itu pada asalnya? Pelanggan bukan sahaja mengalami kehilangan penerbangan tersebut tetapi ramai yang mempunyai penerbangan lain yang menghubungkan dengan syarikat penerbangan lain,” kata Yii dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, beliau menggesa agar tindakan pantas mengenai isu tersebut serta dasar jangka panjang ditetapkan segera untuk memastikan hal ini tidak berlaku dan syarikat penerbangan sentiasa bertanggungjawab terhadap jadual yang ditetapkan mereka.

Tambahnya, walaupun kerajaan mengatakan bahawa adanya siasatan, tetapi ia bukan alasan untuk menangguhkan tindakan kerana tiada keperluan untuk siasatan yang panjang.

Semalam, Air Asia membuat permohonan maaf berhubung perkara tersebut, dan menjelaskan bahawa kesulitan akibat penjadualan semula beberapa penerbangan susulan peningkatan permitaan mendadak pada musim perayaan kali ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, antara faktor yang menyumbang kepada penjadualan semula penerbangan semasa musim perayaan ini ialah permintaan untuk penerbangan domestik naik dengan sangat mendadak dan pembukaan sempadan negara sejak 1 April lalu.

“Selain itu, AirAsia Malaysia juga kini beroperasi hanya dengan 40 pesawat berbanding hampir 100 pesawat semasa prapandemik,

“Ini menyebabkan giliran menunggu yang panjang untuk kemudahan penyelenggaraan pesawat di Malaysia dan serantau sebelum sesebuah pesawat yang sudah lama tidak beroperasi dapat disahkan selamat untuk terbang semula seperti mana arahan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia,” katanya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply