Home Semasa APMM tahan kapal kargo Indonesia bersauh tanpa kebenaran

APMM tahan kapal kargo Indonesia bersauh tanpa kebenaran

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 29 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah kapal kargo Indonesia disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal yang berdaftar dari Pontianak, Indonesia itu ditahan di kedudukan 18.4 batu nautika timur Tanjung Balau sekitar jam 12.35 tengah hari.

“Kapal kargo tersebut dikendalikan 12 kru lelaki warga Indonesia berumur di antara 23 tahun hingga 46 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumen, mendapati kapal telah bersauh sejak 25 Mac lalu dan tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, nakhoda dan ketua jurutera kapal telah dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

“Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply