KYIV, 22 Feb – Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan pasukan tentera negara kuasa besar itu memasuki wilayah timur Ukraine, hari ini.
Arahan dibuat selepas Putin menandatangani pengisytiharan untuk mengiktiraf Donetsk dan Lugansk sebagai satu wilayah bebas.
“Saya merasakan langkah ini perlu diambil bagi menyelesaikan masalah yang telah lama berlarutan,
“Dengan ini saya mengiktiraf kemerdekaan dan kedaulatan wilayah Donetsk (DPR) dan Lugansk (LPR),” kata Putin dalam satu siaran langsung di Rusia.
Presiden Rusia turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin DPR dan LPR.
“Mereka telah menandatangani perjanjian kerjasama dan bantuan bersama antara Rusia dengan kedua-dua republik,” lapor media Rusia.
Menurutnya, Putin telah mengarahkan kemasukan tentera Rusia ke wilayah LPR dan DPR untuk menjalankan misi anggota pengaman.
Sementara itu, penduduk di Donetsk dan Lugansk meraikan keputusan Putin yang dilihat sebagai pengukuhan kepada kedua-dua republik itu sebagai satu wilayah berdaulat.
Donetsk dan Lugansk merupakan 2 wilayah yang dikuasai oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia semenjak krisis bersenjata berlaku pada tahun 2014. – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.