KUALA LUMPUR, 21 Feb – Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi menyatakan bantuan rakyat Malaysia akan tiba ke negara ke Asia Tengah itu pada 23 Februari ini.
Menurut beliau, perkara tersebut disampaikan oleh Penasihat Khas Kementerian Luar Malaysia, Ahmad Azam Abdul Rahman dalam satu pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Afghanistan, Mawlawi Amir, semalam.
“Ahmad Azam menyatakan bantuan tersebut akan disampaikan melalui satu penerbangan ke Kabul pada 23 Februari ini,
“Mereka akan membuka pejabat di Kabul bagi memperkukuhkan kerjasama bantuan dan ekonomi,” katanya.
Dalam pertemuan tersebut, Mawlawi merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas penyaluran bantuan tersebut.
“Kita meminta bantuan Malaysia dalam kerjasama untuk mencari pasaran ubat-ubatan herba dan buah-buahan kering melalui koridor udara bagi membangunkan ekonomi Afghanistan,” jelas Qahar yang memetik kenyataan Mawlawi.
Sementara itu, jurucakap Wisma Putra mengesahkan pertemuan tersebut telah diadakan semalam.
“Kumpulan pertama bantuan akan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 22 Februari,
“Ahmad Azam merupakan Penasihat Khas Kementerian Luar berhubung isu Afghanistan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan pejabat yang akan dibuka di Kabul merupakan pejabat yang akan dibuka di Kabul adalah pejabat oleh pihak Global Peace Mission, bukan pejabat perwakilan rasmi kerajaan Malaysia. – airtimes.my
Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.