PAHANG, 7 Feb – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Australian Army (AA) melaksanakan Eksesais HARINGAROO Siri 72/2022 dalam mempertingkatkan persefahaman merangkumi aspek pelaksanaan latihan serta hubungan dua hala Malaysia dan Australia.
Eksesais yang berkonsepkan Mechanised Operation telah dilaksanakan mulai 5 hingga 12 Februari 2022 dimana ia merangkumi Latihan Silang (CTX) pada 5 hingga 7 Februari 2022 dan Latihan Medan (FTX) dari 8 hingga 12 Februari 2022.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Panglima Divisyen Ke-3 Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim di Padang Kawad Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7 RRD Mek), Kem Batu 5 pada Sabtu lalu.
“Objektif utama latihan ini adalah untuk memupuk semangat kerjasama, setiakawan dan persefahaman antara kedua-dua angkatan tentera yang merangkumi aspek pelaksanaan latihan serta hubungan dua hala Malaysia – Australia,
“Seramai 23 pegawai dan 323 anggota serta 22 kenderaan terlibat sepanjang eksesais dilaksanakan,” jelas Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div).
Turut hadir dalam pembukaan eksesais ini ialah Panglima Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize) (4 Bgd), Brigedier Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin dan Commander Michael Doncaster, Acting Defence Attache Australia. -airtimes.my