PUTRAJAYA, 6 Feb – Kes jangkitan baharu COVID-19 dalam negara terus meningkat kepada 10,089 kes dalam tempoh 24 jam lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di media sosialnya berkata, jangkitan baharu ini sekaligus mencatatkan kes kumulatif wabak berkenaan di dalam negara meningkat kepada 2,914,220.
Menurut Dr Noor Hisham, kes harian baharu hari ini melibatkan 77 kes kategori 3, 4 dan 5, manakala 10,012 kes adalah kategori 1 dan 2.
“Kategori 1 adalah 2,482 kes; 7,530 (kategori 2); 52 kes (kategori 3); 17 kes (kategori 4) dan 8 kes (kategori 5),
“Kategori 4 dan 5 memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi adalah sebanyak 25 kes,” jelasnya.
Negeri Selangor mencatatkan kes harian tertinggi dengan jumlah 2,549 kes, diikuti Johor (1,582) dan Sabah sebanyak 1,285.
Manakala Kedah sebanyak 904 kes; Pahang (624); Pulau Pinang (542); Kuala Lumpur (491); Kelantan (471); Negeri Sembilan (464); Melaka (457); Perak (321); Terengganu (213), Putrajaya (61); Sarawak (58); Perlis (44) dan Labuan sebanyak 23 kes.
Semalam, Malaysia merekodkan sebanyak 9,117 kes positif wabak COVID-19. – airtimes.my
