Home Pertahanan dan Keselamatan Tentera Darat cekup 6 PATI cuba balik Indonesia melalui jalan tidak sah

Tentera Darat cekup 6 PATI cuba balik Indonesia melalui jalan tidak sah

by Air Times News Network

KOTA TINGGI, 6 Feb – Hasrat 6 pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak sah tidak kesampaian apabila dicekup anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di Ladang Bukit Batu Mas, Pengerang, semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) berkata, tim ronda telah mengesan dan melihat pergerakan mencurigakan di lokasi itu pada pukul 9.20 pagi.

“Pada jam 10.30 pagi, Tim Quick Reaction Force (QRF) telah diaturgerakkan ke lokasi kejadian,

“Seterusnya berjaya menahan dan membuat penangkapan ke atas 6 PATI bersama sebuah kenderaan pacuan 4 roda dipercayai ditinggalkan oleh tekong darat semasa melarikan diri dan 5 buah motosikal yang dibawa oleh PATI,” katanya dalam satu dalam kenyataan, pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI telah diserahkan ke Markas Taktikal Pos Tanjung Sepang untuk disoal siasat dan proses dokumentasi.

“Hasil pemeriksaan ke atas PATI, kesemua mereka tiada pengenalan diri yang sah dan cuba balik ke Indonesia melalui jalan yang tidak sah,

“Kesemua PATI terdiri daripada 5 lelaki dan seorang wanita berusia sekitar 21 hingga 39 tahun,” ujarnya.

Mengulas lanjut, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM29,282.90 melibatkan matawang Malaysia RM192.90, kenderaan pacuan 4 roda bernilai RM19,000, 5 buah motosikal bernilai RM7,300 dan 6 buah telefon bimbit pelbagai jenama bernilai RM2,790.

“Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai pada jam 12.30 tengahari,

“Kesemua PATI telah membuat saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan Sungai Rengit dan hasil ujian saringan mendapati negatif,” katanya lagi.

Seterusnya, kesemua PATI diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Johor Bahru manakala kenderaan yang dirampas diserahkan kepada Balai Polis Pengerang untuk tindakan selanjutnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply