KUALA LUMPUR, 29 SEPT – Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) sekali lagi mewakili Tentera Darat Malaysia (TDM) bagi melaksanakan Eksesais SOUTHERN TIGER 23 bersama 7th Royal Australian Regiment (7 RAR), Tentera Darat Australia (TDA).
Eksesais bilateral di bumi Australia ini melibatkan seramai 18 pegawai dan 92 anggota terdiri daripada Elemen Tempur, Elemen Artileri, Elemen Jurutera, Elemen Perubatan, Elemen Logistik serta Tim Pemerhati daripada Markas Briged Keempat Infantri Malaysia (4 Bgd, Mek) dan Tim Evaluasi daripada Pusat Latihan Mekanis (PULAMEK).
Pihak 7 RRD Mek memaklumkan, eksesais ini berkonsepkan latihan medan (Field Training Exercise, FTX) merangkumi Mechanize Manouvre, Combined Arms Operation in Build Up Area dan Armoured Breach yang dikoordinasikan oleh 7th RAR di bawah naungan 9th Bde Australian Army.
“Fasa pertama latihan (Orientasi dan Penyesuaian Kawasan Latihan) telah dilaksanakan bermula 31 Ogos 23 hingga 2 September 23 bertempat di RAAF Edinburgh Base, Adelaide,
“Manakala, fasa kedua latihan (latihan medan) diadakan di Murray Bridge Training Area (MUTA) dan Cultana Training Area (CUTA) selama 14 hari,” jelas pihak 7 RRD (Mek) dalam hantaran di media sosialnya.
Turut serta dalam latihan ini ialah Pegawai Memerintah 7 RRD (Mek), Leftenan Kolonel Mohd Nazri Mohd Husin sebagai Ketua Delegasi TDM yang banyak memberikan buah fikiran serta bimbingan bagi memastikan objektif eksesais tercapai.
Eksesais di antara TDM dan TDA ini telah membuka tirai pada 1 Septermber lalu yang dihadiri oleh Deputy Commander of 9 Brigade Australian Army, Col Tim Orders bersama kedua-dua delegasi Tentera Darat negara masing-masing.
Majlis Penutup Eksesais Southern Tiger 23 pula telah dilaksanakan di 7th RAR, Horseshoe Line, RAAF Edinburgh Base yang telah disempurnakan secara bersama oleh Pegawai Memerintah 7 RAR, Lt Col Lambert dan Pegawai Memerintah 7 RRD (Mek) pada 26 September lalu.
Panglima 4 Briged (Mekanize), Brigedier Jeneral Mohd Rafi Muhammad berkata, eksesais seperti ini harus diteruskan bagi mendedahkan TDM kepada persekitaran operasi yang dinamik dan membuka minda pada keberkesanan Taktik, Teknik dan Prosedur latihan TDA.
“Ia juga dapat menjaga hubungan bilateral dan semangat kerjasama di antara TDM dan TDA,” jelasnya ketika majlis sambutan kepulangan kontijen eksesais yang diadakan di Kem Batu 10, Kuantan. -airtimes.my