ABU DHABI, 3 Feb – Kementerian Pertahanan UAE hari ini mengesahkan pasukan pertahanan udara negara teluk itu telah memintas 3 buah UAV, hari ini.
Menurutnya, kesemua UAV terbabit telah memasuki ruang udara UAE dan dipintas dengan menggunakan sistem pertahanan udara.
“3 UAV terbabit berjaya dimusnahkan dan kejadian berlaku jauh dari kawasan penduduk,” lapor agensi WAM yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan UAE.
Menurutnya, pasukan pertahanan UAE sentiasa bersiap sedia dan melakukan apa sahaja untuk mengekang sebarang ancaman terhadap negara itu.
UAE sebelum ini dikejutkan dengan serangan peluru berpandu, peluru berpandu kruis dan UAV oleh puak Houthi pada Januari lalu.
Menurut jurucakap tentera Houthi, Brigedier Jeneral Yahya Saree, serangan terhadap UAE dilancarkan melalui Operasi Badai Yaman sebagai tindak balas penglibatan negara teluk itu dalam operasi ketenteraan yang diketuai oleh Arab Saudi.
Sementara itu, di Yaman, pasukan tentera bersekutu diketuai oleh Arab Saudi telah melancarkan beberapa siri serangan udara di lokasi bersasar. – airtimes.my