SONGKHLA, 3 Feb – Seramai 3 orang lelaki disyaki militan dilaporkan maut dalam kejadian tembak-menembak dengan pasukan keselamatan Thailand.
Kejadian dilaporkan berlaku awal pagi Khamis di perkarangan sebuah masjid di daerah Chana, Selatan Thailand.
Menurut laporan Bangkok Post, ketiga-tiga suspek cuba melepasi kepungan oleh pasukang keselamatan.
“Pemimpin Islam tempatan dan ahli keluarga telah hadir untuk memujuk kesemua lelaki terbabit untuk menyerah diri,
“Sebaliknya, mereka telah berlari keluar dari bangunan dan melepaskan tembakan kepada anggota tentera di kawasan kepungan,” kata laporan itu.
Menurutnya, pihak tentera telah menemui 2 laras senapang dan sepucuk pistol.
“Pasukan tentera telah mengepung bangunan pusat mengaji selepas menerima maklumat kehadiran 3 individu disyaki militan di kawasan terbabit,
“Mereka telah tersenarai sebagai suspek militan pemisah dan mempunyai beberapa waran tangkap,
“Sebelum ini, mereka telah berjaya meloloskan diri dari ditangkap oleh pihak berkuasa dalam beberapa kejadian di daerah sekitar,” jelas laporan itu. – airtimes.my