KUALA LUMPUR, 27 Jan – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) hari ini menyatakan fenomena jerebu akan melanda kawasan utara Semenanjung Malaysia.
Menurutnya, ini berdasarkan trajektori asap jerebu dari kebakaran hutan yang berlaku di Kemboja.
“Berdasarkan permodelan terkini, keadaan berjerebu ini dijangka akan kekal sehingga 29 Januari 2022,” katanya.
Menurut MET Malaysia, Model HYSPLIT yang dijana hanya mengambil kira lokasi-lokasi titik panas yang dijangka akan memberi kesan kepada kualiti udara Malaysia.
Dalam kenyataan yang sama, sebanyak 399 titik panas dikesan di Kemboja, Laos, Thailand dan Vietnam.
“Semenanjung Malaysia terdapat 6 titik panas manakala di Sabah dan Sarawak tiada titik panas dikesan,
“Kalimantan menunjukkan 8 titik paas manakala di Sumatera terdapat 9 titik panas dikesan,” jelasnya.
Tinjauan Air Times di portal Indeks Pencemaran Udara (IPU) Malaysia mendapati bacaan di kawasan utara tanah air adalah sederhana kecuali di SJK (T) Ladang Byram, Pulau Pinang.
Stesen IPU SJK (T) Ladang Byram, Pulau Pinang adalah 113 iaitu paras tidak sihat. – airtimes.my