Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Anggota tentera ibarat lilin menerangi kegelapan ketika bencana

Anggota tentera ibarat lilin menerangi kegelapan ketika bencana

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=LOV9Wv_-H94[/embedyt]

 

MENTAKAB, 23 Dis – Umpama sebatang lilin yang menerangi kegelapan, kehadiran para petugas barisan hadapan membawa sinar kepada rakyat Malaysia yang menanti bantuan ketika bencana banjir melanda.

Tekad, tanggungjawab, amanah yang diberi pasti akan digalas dengan penuh setia walau diri diancam bahaya atau terdedah dengan pelbagai dugaan.

Malah, mereka terpaksa mendahulukan rakyat Malaysia biarpun ahli keluarga mereka sendiri turut terkesan dengan bencana banjir.

Menurut Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, pengorbanan anggota tentera ini ibarat sebatang lilin, anggota tentera tetap sedia berkhidmat untuk negara walaupun keluarga atau diri sendiri terkesan dengan musibah yang melanda.

“Anggota tentera bukan hanya membantu masyarakat yang terkesan, tetapi boleh dikatakan segala kebajikan bermula dari rumah,

“Kita (tentera) sering diminta membantu masyarakat, dan tentera ini ibarat lilin, korbankan diri demi masyarakat, walau diri sendiri terkesan,” jelasnya selepas membuat tinjauan di Kem Batu 3, Temerloh hari ini.

Kita (tentera) sering diminta membantu masyarakat, dan tentera ini ibarat lilin, korbankan diri demi masyarakat, walau diri sendiri terkesan – Panglima 3 Div, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

Dalam tinjauan tersebut, Tengku Fauzi turut menyantuni keluarga anggota tentera yang terjejas akibat banjir dan turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Sebanyak 186 buah keluarga yang menetap di Kem Batu 3, Temerloh telah terjejas termasuk 36 buah rumah ditengelami air.

Tengku Fauzi turut menjelaskan, pihaknya akan memastikan setiap anggota yang terkesan akan diberikan perhatian dan bantuan yang sewajarnya.

“Kita akan memastikan anggota tentera yang terkesan di Kem Batu 3 Temerloh ini mendapat perhatian,

“Apa yang berlaku di Temerloh kali ini lebih teruk berbanding yang terjadi pada awal tahun lalu,

“Walaupun dalam keadaan tertekan, tetapi apa yang kita cuba bantu adalah untuk meringankan bebanan mereka,

“Kita tahu bekalan makanan di sekitar Temerloh terputus. Jadi, apa yang kami hulurkan ini adalah beberapa bekalan makanan bagi meringankan beban mereka,” jelasnya.

Tambahnya, segala laporan kerosakan yang berlaku dalam kem ini akan dimajukan ke pihak atasan untuk diambil tindakan dengan kadar segera.

Menurutnya, seramai 16 pegawai dan 391 anggota dibawah naungan Markas 3 Div telah diaturgerak untuk membantu agensi lain dalam misi menyelamatkan mangsa banjir yang melanda 8 negeri sejak Khamis lalu.

“Anggota Markas 3 Div bukan hanya membantu mangsa di Pahang, malah digerakkan di Negeri Sembilan dan turut membantu Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div) dengan aturgerak anggota dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) di Sungai Besi,

“Di Pahang sahaja, kita telah kerahkan seramai 8 pegawai dan 173 anggota untuk Operasi Murni ini,

“Kami bukan hanya melaksanakan misi menyelamatkan mangsa banjir, tetapi turut membantu pihak-pihak terlibat dalam menyediakan masakan dan sajian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),

“Tugas kami tetap sama, meneruskan usaha menyelamatkan mangsa yang terjejas akibat banjir,” tambahnya. -airtimes.my

Galeri gambar:

Related Articles

Leave a Reply