PAHANG, 30 Ogos – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Keempat Infantri Malaysia Mekanize (4 Div Mek) telah melaksanakan Progran Jiwa Murni (PJM) di Rumah Anak-Anak Yatim dan Kebajikan Darul Izzah, Temerloh, pada 27 Ogos lalu.
Markas 4 Div Mek menerusi hantaran di media sosialnya memaklumkan, seramai 61 warga TDM dan 15 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari cawangan Temerloh telah terlibat dalam aktiviti ini yang dianjurkan bersama Markas Staf Stesen (MSS) dan Kompeni Keempat Ordnan Diraja Malaysia (4 KOD Mek).
“PJM ini bertujuan bagi membentuk kerjasama antara warga TDM bersama penduduk setempat sekaligus memberi peluang untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat,
“Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang PJM adalah seperti gotong royong membersihkan surau, mencuci longkang, pembersihan kawasan blok penginapan serta penyediaan sajian,” jelas hantaran itu.
Tambahnya, program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Strategik Kementerian Pertahanan (PSM) Tahun 2021-2025 yang memfokuskan kepada Teras Keempat iaitu Pengukuhan Kerjasama Tentera-Awam (CIMIC). -airtimes.my

PJM ini bertujuan bagi membentuk kerjasama antara warga TDM bersama penduduk setempat sekaligus memberi peluang untuk menabur khidmat bakti kepada masyarakat