Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PRN Melaka: Keputusan PAS cermin muafakat utuh PN – Azmin Ali

PRN Melaka: Keputusan PAS cermin muafakat utuh PN – Azmin Ali

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Nov – Perikatan Nasional (PN) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersetuju untuk menggunakan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri Melaka.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, keputusan PAS ini mencerminkan semangat muafakat yang utuh di kalangan parti-parti gabungan itu.

“Ketetapan yang ditegaskan melalui kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama,

“Mendepani cabaran pandemik COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi negara, Perikatan Nasional bertekad untuk menggembeleng kesatuan bagi menjamin kestabilan Kerajaan serta kesinambungan pelaksanaan dasar dan inisiatif demi kemaslahatan sosio ekonomi dan kemakmuran negara,

“PN yakin dan percaya bahawa rakyat Negeri Melaka cukup matang dan bijaksana untuk mendukung wadah Perikatan Nasional yang senantiasa menganjurkan perpaduan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, PAS membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN pada PRN Melaka.

Abdul Hadi Awang berkata, penggunaan lambang itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

“Ketetapan ini mengambil kira panduan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 31 Oktober 2021, selaras dengan peruntukan Fasal 84 Perlembagaan PAS,” ujarnya.

Menrutnya, keputusan untuk bertanding di bawah PN dilihat satu lagi komitmen PAS dengan gabungan yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin dan juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply