KUALA LUMPUR, 1 Nov – Ahli keluarga Muhammad Hidayat Abdul Halim mahu keadilan ditegakkan berhubung isu tahanan maut dalam lokap polis.
Ahmad Faiz, adik kepada Hidayat berkata, pihak keluarga menuntut keadilan dari pihak bertanggungjawab sebelum kejadian yang sama menimpa Orang Kena Tuduh (OKT) yang lain.
“OKT masih belum disahkan bersalah dan kebajikan mereka hendaklah terjaga,” katanya kepada Air Times selepas penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pagi tadi.
Menurut beliau, kematian abangnya dalam tempoh kurang 48 jam dalam tahanan polis telah mengejutkan semua pihak termasuk komuniti setempat.
“Pihak komuniti setempat turut meminta agar kematian Hidayat diberikan keadilan dan tindakan perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,
“Mereka (komuniti) turut terkejut dengan kejadian tersebut,” jelasnya.
Hidayat, 44 tahun merupakan seorang buruh yang disahkan meninggal dunia dalam lokap tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan pada 11 Oktober lalu.
Beliau ditahan di rumahnya pada pagi 8 Oktober 2021.
Dalam memorandum yang diserahkan oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Guaman Rakyat (GEGAR) kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Ketua Jabatan Forensik Hospital Tangku Ampuan Afzan, Dr Sri Marni menyatakan punca kematian mangsa adalah berpunca daripada saluran darah yang tidak normal pecah (Sponteneous Intracranial Bleed) dan serangan strok.
Menurut memorandum tersebut, Hidayat berada dalam keadaan sihat semasa ditahan.
Mengulas kesihatan abangnya, Faiz menegaskan Hidayat berada dalam keadaan sihat dan tidak mempunyai latar belakang kesihatan.
“Allahyarham tidak mempunyai sebarang masalah penyakit kronik dan beliau merupakan seorang pekerja buruh,
“Beliau ditahan atas kesalahan sampel air kencing positif dadah,” katanya.
Jelas Faiz, pihak keluarga telah melantik wakil guaman berhubung isu tersebut.
Jenazah Hidayat dibawa pulang ke rumahnya pada petang 12 Oktober dan dikebumikan pada hari yang sama.
“Pengurusan jenazah juga diuruskan oleh penduduk kampung dan tiada seorang pun wakil dari pihak polis hadir ke upacara pengebumian,” ujarnya. – airitmes.my