Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran ATM tidak berpencen terima Bantuan Khas Kewangan RM350 – PM

Veteran ATM tidak berpencen terima Bantuan Khas Kewangan RM350 – PM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 1 Nov – Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM350 secara ‘one-off’ kepada 1 juta pesara kerajaan, yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lalu akan turut diberikan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK.

“Inisiatif ini telah dilaksanakan pada Bajet 2021, di mana sebanyak RM300 telah diberikan kepada kumpulan pesara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sehingga kini menganggarkan terdapat kira-kira 300,000 veteran ATM yang terdiri daripada mereka yang berpencen, pencen terbitan dan tidak berpencen.

“Namun daripada jumlah itu, hanya seramai 82,000 veteran ATM tidak berpencen telah berdaftar dengan JHEV sehingga 30 September lalu,

“Sehubungan itu, veteran ATM tidak berpencen yang belum berdaftar disarankan untuk berbuat demikian dengan JHEV agar BKK dapat disalurkan kepada mereka menjelang bulan Januari 2022,” ujarnya.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam membentangkan Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia Makmur Sejahtera’ mengumumkan BKK bernilai RM700 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, dan RM350 untuk 1 juta pesara kerajaan. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply