Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Senggaraan barisan kedua pesawat, pertingkat kompetensi warga TUDM

Senggaraan barisan kedua pesawat, pertingkat kompetensi warga TUDM

by Nurulhuda

SUBANG, 2 Nov – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus mengorak langkah mempertingkatkan kembali kompetensi warganya terutama dari Cawangan Kejuruteraan dalam melaksanakan senggaraan barisan kedua pesawat (2nd Line Servicing).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM berkata, selain meningkatkan kompetensi anggotanya, inisiatif ini juga mampu menjimatkan kos dan mengurangkan kebergantungan di antara TUDM dengan pihak industri tanpa menjejaskan dasar kontraktorisasi sedia ada.

“Inisiatif ini adalah bagi mewujudkan kembali keupayaan 2nd line servicing bagi kejuruteraan secara berperingkat dan progresif ini sejajar dengan Teras Ketiga Perintah Ulung PTU iaitu pemantapan keupayaan senggaraan TUDM serta kerjasama industri pertahanan,

“Ia juga merupakan satu platform yang sesuai untuk mengembalikan semula martabat keupayaan kejuruteraan TUDM di dalam melaksanakan senggaraan barisan kedua setelah dasar kontraktorisasi diperkenalkan selama hampir 24 tahun iaitu bermula tahun 1997,

“Secara tidak langsung, pendekatan seumpama ini akan dapat meningkatkan kembali kompetensi anggota TUDM khususnya anggota Cawangan Kejuruteraan di dalam melaksanakan senggaraan barisan kedua pesawat, menjimatkan kos dan mengurangkan kebergantungan di antara TUDM dengan pihak industri tanpa menjejaskan dasar kontraktorisasi sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan Pesawat C130H (M30-11) yang sempurna menjalani senggaraan Structural Inspection 18 years (ST 18 years) daripada Cawangan Kejuruteraan kepada No. 20 Skuadron di Pangkalan Udara Subang, pada Isnin.

Ackbal turut berkata, kejayaan pelaksanaan ST 18 years bagi pesawat C130 amat bermakna kepada beliau selaku Panglima Tentera Udara dan seluruh warga TUDM kerana ianya merupakan satu inisiatif pelan jangka masa panjang yang telah direncanakan oleh TUDM.

Pada masa yang sama, beliau berharap agar inisiatif yang seumpama ini diteruskan dan melahirkan rasa bangga kerana keupayaan bagi senggaraan barisan kedua pesawat telah dipanjangkan kepada pesawat TUDM yang lain seperti senggaraan C1-H Heavy Maintenance Pesawat A400M, Structural Corrosion Inspection Program (SCIP) Pesawat B200T dan Interval 1200 Hours/3 Years Pesawat EC 725 AP.

Untuk rekod, Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Subang sebelum ini telah berjaya melaksanakan Senggaraan Structural Inspection (ST 12 Years) bagi pesawat C130H (M30-14) pada tahun 2009.

“Kini proses meningkatkan kembali keupayaan penyelenggaraan pesawat di barisan kedua bagi pesawat C130H telah dilakukan secara berperingkat dan progresi,

“Pelaksanaan senggaraan ST 18 Years ini telah bermula pada 15 Mac 2020 dan pesawat telah berjaya disiapkan pada 21 Oktober 2021,

“Pesawat berkenaan juga telah berjaya melaksanakan penerbangan pertama, 1st Functional Check Flight (FCF) pada 11 Oktober lalu yang menunjukkan keberhasilan dan kejayaan projek ini sekaligus membuktikan bahawa pegawai serta anggota TUDM turut mempunyai kepakaran, kompeten selain mampu bersaing dengan industri luar,” jelas TUDM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply