Home Pertahanan dan Keselamatan Kes bunuh Zulfarhan: 6 penuntut UPNM terlepas hukuman gantung

Kes bunuh Zulfarhan: 6 penuntut UPNM terlepas hukuman gantung

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Nov – Seramai 6 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terlepas hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, 4 tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah memutuskan mereka bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian mangsa tanpa niat.

“Mahkamah berpuas hati bahawa 6 tertuduh telah menyebabkan kecederaan ke atas si mati (Zulfarhan).

“Bagaimanapun pendakwaan gagal membuktikan niat dalam dakwaan bunuh yang dikemukakan terhadap mereka,” katanya.

Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Keputusan itu dibacakan terhadap Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Bukti menunjukkan keenam-enam tertuduh didakwa mencederakan hingga menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.

Sementara itu, 12 yang lain turut disabitkan kesalahan di atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan.

Hukuman ini membawa kepada penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Mereka yang disabitkan adalah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Allahyarham dikatakan didera dengan kesan lecur 80 peratus sebelum meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply