Home Semasa Malaysia bersama 192 negara sambut Hari PBB

Malaysia bersama 192 negara sambut Hari PBB

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 24 Okt – Malaysia bersama-sama 192 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meraikan sambutan Hari PBB, hari ini.

Sambutan Hari PBB disambut pada 24 Oktober setiap tahun bagi menandakan bermulanya penguatkuasaan Piagam PBB sejak tahun 1945.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Malaysia merupakan salah sebuah negara dari 192 negara yang bergabung dalam merayakan hari PBB.

“Sejak menyertai PBB pada tahun 1957 dan menjadi ahli ke-82 badan agung ini, Malaysia amat mementingkan 3 tonggak utama PBB, iaitu keamanan dan keselamatan, hak asasi manusia dan pembangunan,” katanya.

Malaysia telah memainkan peranan aktif dalam PBB dan dipilih sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB bermula pada tahun 1965 hingga 2016.

Menurutnya lagi, Malaysia juga terpilih sebagai anggota organisasi utama PBB yang lain dalam Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC) bermula pada tahun 1971 hingga 2010.

“Malaysia gembira terpilih baru-baru ini untuk kali ketiga ke Majlis Hak Asasi Manusia PBB (HRC) untuk penggal 2022-2024,

“Sebagai anggota HRC, Malaysia berharap dapat meningkatkan hak asasi manusia di dalam dan luar negara dengan bekerjasama rapat dengan semua negara dan pihak berkepentingan lain melalui penglibatan, kerjasama, inklusif, ketelusan dan saling menghormati,” ujar kenyataan itu.

Malaysia juga menyokong hasrat PBB untuk mencapai dunia tanpa senjata nuklear dan akan terus memainkan peranan aktif dalam perlucutan senjata nuklear, ketika mempengerusikan Jawatankuasa Utama I mengenai Pelucutan Nuklear pada Persidangan Kajian 10 Perjanjian Percambahan (NPT) awal tahun hadapan.

Tambahnya, bagi menyokong nasib rakyat Palestin, Malaysia telah memutuskan untuk menghulurkan sumbangan dana yang sebanyak USD 1 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) setiap tahun berjumlah USD 200,00 bermula 2021 hingga 2025. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply