Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Kes anggota mengamuk: Tentera Darat tubuh pasukan inkuiri

Kes anggota mengamuk: Tentera Darat tubuh pasukan inkuiri

by Nurulhuda

GEMAS, 14 Okt – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan pasukan inkuiri bagi menambah baik beberapa aspek dalam pasukan itu termasuk dalam soal keselamatan dan tadbir urus.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM berkata, penubuhan pasukan berkenaan adalah bagi mengelakkan kejadian melepaskan tembakan dan bunuh diri yang melibatkan anggota tentera seperti yang berlaku di Sarawak semalam, tidak berulang.

Beliau berkata, fokus Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini adalah menyalurkan bantuan kepada keluarga anggota terbabit agar balu dan anaknya mendapat bantuan sewajarnya.

“Buat masa ini, siasatan sedang dilakukan, dan kami (ATM) serah kepada polis untuk menentukan sekiranya ada unsur jenayah di situ (tentera bunuh diri),

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan segala urusan kebajikan untuk keluarga arwah ini akan diuruskan agar balu dan juga anak arwah mendapat sokongan dan bantuan yang sepatutnya,

“Pihak ATM tidak mahu mengeluarkan kenyataan awal mengenai kejadian berkenaan kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan polis,” katanya selepas menghadiri Latihan Kuasa Tembakan 2021 di Kem Syed Sirajuddin, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Affendi berkata, ATM akan mengadakan satu sidang khas untuk menerangkan berkaitan kes berkenaan agar tidak berlaku salah faham atau tanggapan negatif daripada masyarakat.

Semalam, seorang anggota TDM maut selepas bertindak menembak dirinya sendiri dalam kejadian amuk di Kampung Kolong, Sungai Tengah, Matang, Kuching, Sarawak.

Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari itu, suspek berusia 29 tahun yang lengkap dengan pakaian seragam dikatakan tiba di rumah mentuanya dan melepaskan beberapa das tembakan rambang.

Tembakan itu turut terkena bahu kiri ibu mentuanya yang berusia lingkungan 50-an.

Suspek berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Rejimen Sempadan (RS) ke-10 itu kemudian bertindak menembak kepalanya sendiri dan mati di tempat kejadian manakala ibu mentuanya yang cedera kini dirawat di hospital.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply