Home Pertahanan dan Keselamatan 2 tekong tempatan ditahan, 32 PATI diusir balik Indonesia

2 tekong tempatan ditahan, 32 PATI diusir balik Indonesia

by Nurulhuda

KUCHING, 15 Okt – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah berjaya menahan 2 orang tekong bersama 3 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) dalam beberapa siri tangkapan sejak 11 hingga 13 Oktober lalu.

Komander PGA Briged Sarawak, Senior Asisten Komisioner Saini Bongkek berkata, anggota pasukannya juga telah mengusir 32 orang PATI balik ke negara asal mereka ketika cuba memasuki negeri ini secara haram menggunakan jalan tikus di sempadan negara dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, tangkapan pertama pada Isnin lalu melibatkan 2 lelaki Indonesia berumur 33 dan 39 tahun di sekitar kawasan Ladang Sawit Salcra, Bau.

Manakala, berkata tangkapan kedua pula membabitkan 2 warga tempatan yang membawa masuk 3 lelaki Indonesia berusia 30 hingga 45 tahun menggunakan sebuah Perodua Viva di kawasan Lachau, Sri Aman.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki dan wanita warga tempatan dipercayai tekong membawa 3 lelaki warganegara Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Saini menambah tangkapan ketiga dibuat kira-kira jam 12.10 tengah malam 13 Oktober yang melibatkan 4 lelaki, 3 wanita dan seorang kanak-kanak berumur antara 7 hingga 41 tahun.

“PATI berkenaan ditahan ketika sedang bersembunyi dalam kawasan semak di sekitar jalan ladang di Serian,

“Kesemua individu terbabit diarahkan untuk berpatah balik ke Indonesia melalui jalan yang sama,” jelasnya.

Tambah Saini, tangkapan keempat pula membabitkan 4 lelaki dan seorang wanita berumur antara 26 hingga 52 tahun di sekitar kawasan Tebedu.

“Mereka ditahan ketika sedang bersembunyi dalam kawasan semak di tepi jalan,

“Manakala, tangkapan kelima dilakukan di sekitar kawasan Ladang Sawit Dafa, Lundu membabitkan 2 lelaki berumur 33 dan 37 tahun,” ujarnya.

Bagi tangkapan keenam, beliau berkata, seramai 14 lelaki dan seorang wanita berumur antara 20 hingga 39 tahun ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak di kawasan kampung sekitar Serian.

“Kesemua individu terbabit turut diarahkan untuk berpatah balik ke Indonesia melalui jalan yang sama,”tambahnya.

Pada masa yang sama, Saini menjelaskan, pasukannya telah melaksanakan sebanyak 265 serbuan dan pemeriksaan melibatkan 358 tangkapan beserta rampasan 85 kenderaan yang dianggarkan bernilai RM6.39 juta sejak 1 Januari 2021.

“Anggota pasukan juga telah membuat sebanyak 684 pengusiran sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Jeslasnya, jumlah tangkapan membabitkan seramai 113 warga tempatan dan 245 warga asing yang terdiri daripada 205 lelaki dan 46 wanita.

“Selain itu, seramai 684 warga asing juga telah berjaya diusir yang melibatkan rakyat dari negara Indonesia dan Filipina,

“Seramai 70 tekong darat melibatkan 64 warga tempatan dan 6 lelaki warga Indonesia juga ditahan sepanjang tempoh tersebut,

“Sebanyak 57 buah kenderaan yang digunakan bagi melakukan aktiviti penyeludupan juga berjaya dirampas,” tambahnya. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply