MANILA, 11 Okt – Tentera Laut Filipina (Philippine Navy, PN) telah menerima sistem pertahanan udara Mistral 3 pada 8 Oktober lalu.
Sistem peluru berpandu tersebut akan dipasang pada frigat BRP Jose Rizal (FF-150) dan BRP Antonio Luna (FF-151).
Menurut laporan Philippine News Agency, perolehan Mistral 3 merupakan sebahagian daripada projek perolehan khas kapal frigat untuk PN.
“Peluru berpandu pertahanan udara merupakan antara sistem persenjataan utama pada kedua-dua kapal frigat PN,
“Ia sekaligus mempertingkatkan keupayaan pertahanan udara dan operasi PN di kawasan perairan,: kata jurucakap PN, Komander Benjo Negranza yang dipetik oleh media Filipina.
Mistral 3 merupakan sistem peluru berpandu pertahanan udara aras rendah (VSHORAD) keluaran MBDA. Manila telah menganugerahkan kontrak perolehan sistem ini kepada syarikat Eropah tersebut pada akhir Januari 2019 dengan nilai US$12 juta (RM50 juta).
Ia menggunakan sistem panduan infra-merah (IR) dan terbang pada kelajuan Mach 2.6.
Sementara itu, kedua-dua frigat PN kelas JOSE RIZAL akan menerima sistem peluru berpandu anti permukaan pada Mac tahun hadapan.
SSM-700K Haeseong (C-Star) keluaran syarikat Korea Selatan, LIG Nex 1 telah dipilih sebagai sistem persenjataan anti permukaan oleh PN. – airtimes.my