Home Semasa Menteri Pertahanan Taiwan: Krisis Beijing-Taipei ditahap terburuk

Menteri Pertahanan Taiwan: Krisis Beijing-Taipei ditahap terburuk

by M.Daim

TAIPEI, 6 Okt – Taiwan kini berdepan dengan krisis ketegangan ketenteraan yang terburuk dengan China.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Taiwan, Chiu Kuo-cheng, hari ini.

Menurut beliau, Taiwan berdepan dengan situasi yang begitu serius dan sensitif kerana China mempunyai keupayaan untuk menawan negara pulau republik itu.

“China kini mempunyai keupayaan untuk menawan Taiwan. Mereka mampu untuk melancarkan serangan besar-besaran pada tahun 2025,” kata Chiu yang dilaporkan oleh Reuters.

Beliau turut menegaskan peperangan mungkin akan berlaku tetapi bukan secara mudah kerana Beijing perlu mengambil kira pelbagai faktor.

Chiu yang juga merupakan bekas tentera turut menyatakan Taiwan sedang berada dalam keadaan yang amat terdesak untuk mempertahankan kedaulatannya.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sidang Parlimen Taiwan yang sedang melakukan penilaian perbelanjaan pertahanan khas oleh Taipei bagi menghasilkan senjata secara domestik.

Dilaporkan sebanyak 240 bilion dolar Taiwan (RM35.91 bilion) diperuntukkan bagi menghasilkan pelbagai sistem persenjataan serta aset seperti peluru berpandu anti-kapal dan kapal perang.

Perbelanjaan khas untuk 5 tahun kehadapan ini akan memberi fokus kepada sistem persenjataan maritim.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan Nasional Taiwan melaporkan hampir 150 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLA AF) telah menceroboh masuk zon pertahanan udara (ADIZ) negara pulau itu selama 4 hari berturut-turut semenjak 1 Oktober lalu.

Taiwan akan menyambung Hari Kebangsaan mereka pada 10 Oktober ini. Taipei sebelum ini menegaskan negara pulau itu sebagai sebuah wilayah yang berdaulat serta merdeka.

Namun begitu, kemerdekaan Taiwan tidak diiktiraf oleh China kerana menganggap negara pulau itu adalah sebahagian daripada wilayah miliknya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply