Home Semasa Keputusan PRN Melaka akan diteliti sebelum diadakan – Hishammuddin

Keputusan PRN Melaka akan diteliti sebelum diadakan – Hishammuddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diarah untuk mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kemungkinan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keputusan untuk mengadakan PRN Melaka itu akan diputuskan selepas meneliti kesemua aspek keselamatan dan risiko yang ada.

“SPR akan menentukan apa yang perlu dibuat dan dibawa kepada pucuk pimpinan tertinggi negara terlebih dahulu, namun, isu berkaitan prosedur operasi standard (SOP) perlu dibincangkan bersama dengan MKN,

“Saya sudah arah MKN untuk mendekati pihak-pihak berkenaan bukan saja SPR tetapi KKM dan mesyuarat-mesyuarat yang kita adakan berhubung kait dengan COVID-19 ini setiap mingggu melibatkan mereka yang semua ada kepentingan dalam apa yang kita putuskan untuk negeri Melaka,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Hasil Sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), di Padang Kawad, Kementah, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronlad Kiandee; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM.

Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan kebimbangan trend penurunan jangkitan COVID-19 ketika ini akan terganggu sekiranya pertimbangan teliti tidak dibuat sebelum memutuskan untuk mengadakan PRN Melaka.

“Kita perlu melihat dari pandangan segala kepakaran yang akan membabitkan MKN, SPR dan KKM,

“Kita belajar daripada apa yang berlaku dalam PRN Sabah dan kita tengok kesannya. Agenda kita adalah untuk selamatkan rakyat daripada pandemik COVID-19 ini, jadi kajian itu mesti mengambil kira apa yang kita terpaksa lalui semasa PRN Sabah yang lalu,” tambahnya.

Pembubaran DUN Melaka itu dibuat selepas 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melaka menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Pengumuman pembubaran itu dibuat Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, semalam. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply