Home Semasa Lebih 200 ribu pelarian Rohingya berada di Malaysia – Menteri Luar

Lebih 200 ribu pelarian Rohingya berada di Malaysia – Menteri Luar

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=tsssokFB0tE[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 6 Okt – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menyatakan lebih  200 ribu pelarian etnik Rohingya berada di Malaysia.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

“Jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini dianggarkan lebih 200 ribu. Ia merupakan jumlah terbesar dalam Asia Tenggara,” kata Saifuddin.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia merupakan negara yang paling konsisten dan lantang mengutarakan tentang isu pelarian Rohingya.

“Kita menyokong kuat usaha-usaha ASEAN dalam memudahcara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar,

“Dalam hal ini, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat serantau mahupun antarabangsa,” katanya.

Saifuddin turut menjelaskan nasib etnik Rohingya tidak berubah walaupun Myanmar pernah diterajui kerajaan demokratik yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi.

Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 Myanmar yang berkuatkuasa sehingga hari ini masih mengecualikan etnik Rohingya sebagai rakyat negara itu.

“Mereka masih dikecualikan daripada senarai 135 etnik yang dianggap sebagai rakyat Myanmar,

“Etnik Rohingya kekal tidak bernegara (stateless) dan hak-hak mereka terabai,” ujar beliau.

Jelasnya, isu pelarian Rohingya dari Myanmar adalah krisis yang telah berlarutan sejak beberapa dekad yang lalu.

“Pengusiran keluar etnik tersebut dari Myanmar pada 25 Ogos 2017 hanyalah merupakan manifestasi terkini diskriminasi ke atas Rohingya,” kata Saifuddin lagi.

Etnik Rohingya telah berdepan diskriminasi oleh pemerintah Myanmar semenjak tahun 1962.

Menurut Menteri Luar, pengusiran mana-mana populasi secara paksa adalah tersenarai sebagai salah satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa.

Ini terutamanya berdasarkan Statut Rome berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman ke atas Genosid 1948. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply