CANBERRA, 20 Sept – Kerajaan Australia telah meluluskan 2 projek utama bagi mempertingkatkan kekuatan Tentera Laut Diraja Australia (RAN).
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison telah meluluskan program memanjangkan hayat (Life-of-Type Extension) kapal selam kelas Collin dan tingkat upaya sistem pengurusan tempur kapal pembinasa kelas Hobart.
“Tingkat upaya kekuatan armada laut Australia akan memperkukuhkan pertahanan dan keselamatan negara ini. Pada masa yang sama, ia akan mempertingkatkan kemahiran dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan Selatan Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, program tingkat upaya pada kapal pembinasa kelas Hobart akan dilaksanakan pada tahun 2024 dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak A$5.1 bilion (RM 15.45 bilion).
Sementara itu, program memanjangkan hayat kapal selam kelas Collins akan menelan belanja sebanyak A$6.4 bilion (RM19.39 bilion) dan dijangka akan bermula pada tahun 2026.
Sementara itu, Menteri Pertahanan Australia, Peter Dutton menegaskan perbelanjaan tersebut merupakan satu pelaburan penting bagi memastikan negara itu mempunyai armada kapal selam yang kuat serta berkeupayaan tinggi dalam masa beberapa dekad.
“Kapal selam Collins merupakan salah satu kapal selam konvensional yang berkemampuan tinggi dalam dunia,
“Program memanjangkan hayat aset ini akan merangkumi kerja-kerja kritikal di bahagian sistem utama,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tingkat upaya sistem kawalan tempur Aegis pada kapal kelas Hobart akan memastikan tahap keupayaan kapal tersebut menjadi lebih relevan di masa hadapan.
“Projek pada kapal selam dan kapal pembinasa akan memastikan Australia berupaya untuk mendepani situasi semasa yang semakin sukar,
“Pelaksanaan kedua-dua projek ini juga akan memenuhi matlamat dan objektif pertahanan pada peringkat strategik,” jelas Peter. – airtimes.my