Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat 5 warga China antara 15 PATI dicekup di Bio-Desaru

5 warga China antara 15 PATI dicekup di Bio-Desaru

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 20 Sept – Seramai 5 individu warganegara China antara 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya dicekup Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam Operasi Benteng (Op Bentang) kerana cuba memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah, semalam.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam kenyataan berkata, semua PATI termasuk 10 rakyat Indonesia ditangkap di pantai sekitar kawasan Bio-Desaru dan mereka terdiri daripada 5 wanita dan 10 lelaki berusia 21 hingga 42 tahun.

“Anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan sedang merapati pantai sekitar kawasan Bio-Desaru dan hasil serbuan pukul 11.30 malam berjaya menangkap 15 individu dipercayai PATI sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau, Sedili Kecil (Bio-Desaru),

“Kesemua 15 individu tersebut yang terdiri daripada 5 lelaki warganegara China bersama 5 lelaki dan 5 wanita warganegara Indonesia dipercayai baharu saja masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut turut mendapati 5 lelaki warganegara China tersebut yang tinggal di Indonesia berhasrat untuk pulang ke negara asal iaitu China menggunakan laluan masuk menerusi Malaysia.

Kesemua 15 individu terdiri daripada 5 lelaki warganegara China, 5 lelaki dan 5 wanita warganegara Indonesia yang berjaya ditahan di pantai Jalan Tanjung Balau, Sedili Kecil (Bio-Desaru). Foto: 3 Divisyen

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,582.74 melibatkan matawang Indonesia 7,477,000.00 (RM 2,186.74) bersama 10 buah telefon bimbit,

“Kesemua PATI terbabit dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” ujarnya.

Dalam masa yang sama, 3 Div menjelaskan, pihaknya telah meneruskan atur gerak Tim QRF dan Tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta bantuan dari pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply