Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara 30 anggota TUDM terima Beret Biru PASKAU

30 anggota TUDM terima Beret Biru PASKAU

by Air Times News Network

ROMPIN, 9 Sept – Seramai 30 orang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang lulus ujian asas Komando siri 28/2021 menerima beret biru, Pasukan Khas Udara (PASKAU) di upacara perbarisan penutup kursus di Pantai Hiburan, Rompin, Pahang pada Rabu.

TUDM dalam kenyataan berkata, seramai 3 pegawai dan 27 anggota TUDM telah dianugerahkan beret biru yang merupakan kebanggaan PASKAU.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM telah menyempurnakan upacara Penganugerahan Beret Biru PASKAU dan Penutup Kursus Komando TUDM Siri 28/21.

Menurut TUDM, penuntut kursus ini telah menjalani beberapa peringkat latihan yang menggabungkan seluruh kekuatan mental dan fizikal setiap para penuntut.

“Setiap penuntut perlu menyemat semangat juang yang jitu dan keyakinan serta sikap profesionalisme yang tinggi bagi menghadapi setiap latihan mencabar agar dinilai benar-benar layak untuk memakai beret biru dan menjadi seorang anggota PASKAU,

“Semasa majlis penutup, mereka turut melaksanakan demonstrasi keupayaan khas mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperolehi semasa kursus,” katanya.

Kursus yang bermula pada 20 Jun hingga 10 September 2021 dilaksanakan di Sekolah Latihan Tempur TUDM (SLTT), TUDM Bukit Ibam.

“Kursus ini dijalankan selama 12 minggu dan ianya dilaksanakan di SLTT bagi fasa latihan peringkat pangkalan selama 4 minggu dan di sekitar daerah Rompin bagi fasa latihan luar pangkalan selama 8 minggu,

“Pada awalnya, seramai 8 orang pegawai dan 91 anggota telah melapor diri untuk Latihan Pra Kursus Komando TUDM namun akhirnya 3 pegawai dan 27 anggota yang berjaya menamatkan kursus,” ujarnya.

Sementara itu, anak kelahiran Batu Pahat, Johor iaitu Leftenan Muhammad Nur Syazwan Abdul Rahman TUDM telah dinobatkan penuntut terbaik kursus ini.

Ackbal dalam ucapannya mengingatkan para penuntut agar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai anggota PASKAU dalam melaksanakan operasi-operasi khas yang mencabar dan berisiko tinggi.

“Anggota Komando TUDM sewajarnya melengkapkan penguasaan diri dalam kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dan pelbagai aspek teknikal, taktikal, operational dan strategik bagi menentukan setiap anggota PASKAU berstatus ‘mission capable’ untuk melaksanakan setiap misi dan operasi,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada para penuntut yang kini telah layak digelar anggota PASKAU setelah berjaya mengharungi segala pahit getir dan pelbagai cabaran untuk mencapai kemuncak kejayaan kursus yang mencabar ini.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Salleh Osman TUDM serta Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mejar Jeneral Mohd Shahada Ismail TUDM. – airtimes.my

Galeri gambar:

 

 

Related Articles

Leave a Reply