Home PolitikPakatan Harapan Saya berdiri teguh bersama Pakatan Harapan – Maria Chin

Saya berdiri teguh bersama Pakatan Harapan – Maria Chin

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik kotor yang mengaitkan dirinya untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, ada pihak yang cuba menyebarkan berita palsu bahawa ada 3 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) akan melompat bagi menyokong PN.

“Saya mengambil maklum bahawa terdapat sesetengah pihak cuba menyebarkan berita palsu mengenai saya, dalam bentuk ‘artikel’ yang didakwa disiarkan di laman web Agenda Daily,

“Hasil semakan fakta menunjukkan bahawa tidak wujud artikel seperti itu dalam Agenda Daily,

‘Saya menolak semua ini dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik kotor seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, beliau tetap bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PH.

“Saya berpegang tetap kepada komitmen dalam perjuangan ini, begitu juga rakan-rakan saya Sivarasa Rasiah dan Tony Pua,

“Sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, fokus utama saya adalah tanggungjawab kepada kesejahteraan dan kebajikan pengundi saya,

“Ratusan orang mati akibat COVID-19 setiap hari, namun masih ada pihak yang menangguk di air yang keruh, mewujudkan suasana politik yang kotor dan terhina untuk menimbulkan kekacauan dan ketidakpercayaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata akan terus berdiri teguh bersama PH untuk memastikan kebajikan dan kesihatan rakyat Malaysia terjaga.

“Jangan membuat tuduhan tidak berasas! walau berapa banyak berita palsu yang dihasilkan oleh cybertrooper sebegini,

“Saya akan berdiri teguh bersama PH untuk memastikan kebajikan dan kesihatan jutaan rakyat Malaysia terjaga serta tidak dikompromi oleh kerajaan PN-BN yang gagal dan tidak kompeten,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply