KOTA BHARU, 25 Jul – Kelantan mengesan kes pertama varian Delta membabitkan seorang wanita di Pasir Puteh yang disahkan positif dua hari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata wanita terbabit juga pernah dijangkiti COVID-19 sebelum ini.
Beliau berkata, perkembangan ini amat membimbangkan dan berharap penduduk Kelantan lebih berwaspada serta meningkatkan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan.
“Kerjasama rakyat termasuk pemimpin dalam aspek pematuhan SOP amat penting bagi membendung penularan virus ini. Jika tiada urusan penting, jangan keluar dan jangan bersiar-siar,” katanya kepada media di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Setakat semalam, Kelantan mencatatkan 502 kes positif baharu dan 2,625 kes masih dalam rawatan. – Bernama